Friday, 23 November 2018

Hadis 17 (Berlaku Ihsan Dalam Segala Hal)



Terjemahannya:

Daripada Abu Ya'la Syaddad ibn Aus r.a. daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah menulis (iaitu mewajibkan) Ehsan atas segala sesuatu. Apabila kamu mahu membunuh, maka perelokkanlah pembunuhan itu. Apabila kamu mahu menyembelih, maka perelokkanlah penyembelihan itu dan hendaklah kamu menajamkan mata pisau dan hendaklah dia menyenangkan haiwan sembelihannya itu."    

(Riwayat Ahmad no. 17154, Muslim no. 1955, Abu Daud no. 2815, al-Tirmizi, Ibn Majah no. 3170, al-Nasa’i no. 4405 dan al-Baihaqi no. 11071)

Syarahannya:

Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Ya’la Syaddad bn Aus. Syaddad adalah dari suku Khajraj, yang dikurniakan oleh Allah ilmu dan hikmah. Ia mendiami Baitul Maqdis. Hadis yang diriwayatkannya ada sebanyak 50 hadis.


Nilainya:

Hadis tersebut mengandungi nilai yang sangat penting dari segi pengajarannya dalam bidang tata tertib kesopanan dan kehalusan budi bagi seorang Islam. Seorang Islam menurut petunjuk hadis ini hendaklah menjadi seorang yang berbudi yakni berbuat sesuatu yang baik dan elok dalam perkerjaannya.

Hadis 16 (Jangan Marah)


Terjemahannya:

Daripada Abu Hurairah r.a.: Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berikan daku wasiat. Baginda bersabda: "Janganlah engkau marah." Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: "Janganlah engkau marah."          

(Riwayat Ahmad no. 8729, al-Bukhari no. 5765 dan al-Tirmizi no. 2020).


Syarahan dan Nilaiannya:

Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dari Abu Hurairah dan mempunyai nilai akhlak yang utama, iaitu melarang dari kemarahan. Larangan ini sungguh besar faedahnya. Kerana kemarahan bukan menambahkan kebaikkan, tetapi memburukkan lagi keadaan.

Hadis 15 (Etika Orang Beriman)



Terjemahannya:

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya." 

(Riwayat al-Bukhari, no. 5672 dan Muslim, no. 47)


Syarahannya:

Hadis ini mengandungi nilai peradaban yang tinggi, sopan santunnya yang terpuji. Seorang beriman yang sebenarnya tentu menggunakan pengajaran peradaban ini untuk keselamatan dirinya dengan memelihara perkataannya, dan untuk menjaga hubungan baik dengan jiran-jirannya dan sahabat-sahabatnya dengan memuliakan mereka sesuai dengan keadaan masing-masing.

Hadis 14 (Jiwa Seorang Muslim Terpelihara)



Terjemahannya:

Daripada lbnu Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: "Tidak halal darah seorang muslim yang bersaksi bahawa tidak ada yang disembah melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah kecuali kerana salah satu daripada tiga perkara : Berzina, pada hal dia sudah berkahwin, membunuh orang dan meninggalkan agamanya serta memisahkan diri daripada jemaah (murtad).”

(Riwayat al-Bukhari, dan Muslim)  


Syarahannya:

Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud. Kandungannya adalah sangat bernilai dalam bidang hukum jenayah berhubungan dengan keturunan, darah dan agama; yang pada tiap-tiap satunya ada hak kehormatannya yang mesti dipelihara. Sekiranya hak itu dicabul maka menurut ketentuan hukum, orang yang mencabul akan dikenakan hukuman yang selayak dengannya.

Hadis 13 (Ukhuwah Islamiyah)



Terjemahannya:

Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a., khadam Rasulullah SAW, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: "Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."     

(Riwayat al-Bukhari no.13, Muslim no.45 dan Ahmad no. 18076)

Hadis 12 (Menyibukkan Diri Dengan Sesuatu Yang Bermanfaat)



Terjemahannya:

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: "Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya."   


(Riwayat al-Tirmizi no. 2318, Ibn Majah no. 3976, Ahmad no. 1732 dan al-Baihaqi)



Syarahannya:

Hadis ini adalah sebuah hadis yang mengandungi himpunan adab yang baik bagi seorang Islam. Seorang Islam adalah dikehendaki memelihara adab kesopanannya atau budi pekertinya sesuai dengan adatnya yang baik dan sebanding dengan tuntutan agamanya. Hadis ini berserta beberapa hadis yang kemudiannya adalah memperkatakan nilai hukum adab bagi diri dan terhadap orang lain.

Hadis 11 (Memilih Yang Diyakini dan Meninggalkan Yang Meragukan)



Terjemahannya:
Daripada Abu Muhammad al-Hasan ibn Ali ibn Abu Talib r.a., cucu Rasulullah SAW dan orang kesayangan Baginda. Beliau berkata: Aku telah menghafal daripada Rasulullah SAW hadis: "Tinggalkanlah apa yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau." 

(Riwayat al-Tirmizi no. 2518, al-Nasa’i no. 5711,8/327-328, Ibn Hibban dan al-Hakim)