Wednesday, 14 November 2018

Hadis 1 (Pahala Pekerjaan Ditentukan Niatnya)



Terjemahannya:

Dari Amir al-Mu’minin Abu Hafs Umar bin al-Khattab r.a. katanya: Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan rasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan rasulNya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.

          Diriwayatkan hadis ini oleh dua orang imam hadis Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Mughirah bin Murdidzbah al-Bukhari dan Abu Husain Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim al-Qusyairi an-Naisaburi dalam kitab sahih keduanya, iaitu kitab yang empat sah di antara kitab yang pernah disusunkan.



Syarahannya:

Hadis yang pertama ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Saiyidina Umar bin al-Khattab, bergelar Imam al-Mukminin (raja segala orang yang beriman). Beliau khalifah Islam yang kedua, terkenal sebagai seorang yang berani dalam urusan menegak umat Islam menyebut beliau dengan panggilan Abu Hafs, ertinya: Bapa singa, mengingat keberanian dan kepahlawanan beliau itu.

          Beliau banyak juga meriwayatkan hadis. Semuanya berjumlah kira-kira 569 hadis. Di antara hadis-hadis itu ialah hadis yang pertama ini.