Thursday, 15 November 2018

Hadis 7 (Agama Adalah Nasihat)



Terjemahannya:

Dari Abi Raqiah Tamim bin Aus al-Daari r.a., bahawasannya Nabi s.a.w. bersabda: Agama itu nasihat. Kami berkata: Bagi siapa? Dia bersabda: Bagi Allah dan bagi kitabNya dan bagi rasulNya dan bagi imam-imam kaum muslimin dan bagi orang ramai mereka. (Diriwayatkan oleh muslim).

Syarahannya:

Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Raqiah Tamim bin Aus al-Daari. Dia adalah pada mulanya seorang yang beragama Nasrani, kemudian memeluk Islam sewaktu di Madinah.

Nilaiannya:

Hadis ini adalah sebuah hadis yang lengkap lagi sempurna sekalipun ringkas, kerana maksudnya untuk menerangkan nasihat agama yang berhubungan dengan kepercayaan dan hubungan antara sesama pemeluknya dalam perkara yang bertalian dengan kebaikan beserta dalam agama Islam.


PERKARA YANG BERKENAAN DENGAN NASIHAT DALAM AGAMA

1. Agama itu nasihat

Pada hadis tersebut Rasulullah ada menerangkan perkara yang berkenaan dengan nasihat dalam agama. Agama itu – kata Rasulullah – adalah nasihat. Perkataan ini menimbulkan pertanyaan dari sahabat kerana mereka ingin mengetahui kepada siapakah nasihat itu dalam hubungannya dalam agama? Rasulullah dalam jawapannya menegaskan? “Bahawa nasihat itu adalah bagi Allah, bagi kitabNya, bagi rasulNya”. Demikianlah diterangkan hingga akhirnya sebagaimana dalam hadis tersebut.


Pengertian Nasihat

Agama Islam adalah agama Allah. Pengertian ini sudah umum diketahui. Dan agama menurut kata Rasulullah adalah nasihat. Dalam bahasa arab, perkataan nasihat mengandungi maksud supaya yang menasihat mendapat keuntungan atau faedah. Dan perkataan nasihat itu diambil dari perkataan: "نصح الرجل ثوكتأن" ertinyas seorang lelaki menjahit kainya. Dengan ini, diertikan bahawa orang yang memberi nasihat itu bermaksud untuk memberikan kebaikan kepada orang yang dinasihati sebagaimana orang yang berkehendak untuk kebaikan kainnya dengan jalan menjahitnya bila telah koyak. Atau diambil dari perkataan: “نصحت العسل” ertinya aku menapis manisan. Dengan ini diertikan pula bahawa orang yang memberi nasihat hendaklah menggunakan kata-kata yang sudah dipilih dan telah dihalusi serta ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.


2. Nasihat bagi Allah, kitabNya dan rasulNya


Maksud nasihat bagi Allah ialah beriman kepadaNya menurut pengertian yang sebenarnya serta menghapus sama sekali sebarang sifat dan bentuk penyatuan baginya dalam iktikad dan ibadah dan beramal menurut yang diperintahkannya, meninggalkan apa yang dilarangnya, mengingati kebesarannya di atas segala kebesaran, mensyukuri nikmat yang tidak terhingga banyaknya serta  tidak ternilai hikmahnya dan menggunakan di jalan yang baik dan sejahtera. Inilah maksud dari pengertian nasihat bagi Allah, yang pada hakikatnya adalah nasihat kepada diri sendiri. Kerana Allah tidak memerlukan sebarang nasihat seorang dari hambanya.

Maksud nasihat bagi kitabNya ialah beriman kepada kebenarannya dengan beramal mengikut petunjuk dan pengajaranNya. kitabNya ialah perkataan yang diwahyukan kepada rasulNya, yang tidak sama dengan perkataan manusia dan tidak dapat ditiru sepertinya oleh sesiapa pun juga.

Seterusnya beriman kepada kitabNya adalah memerlukan supaya dimuliakan dan dibesarkan kehormatanNya dengan memandang keutamaanNya dari segala kitab, dengan membaca ayat-ayatNya dengan cara yang betul, dengan memahami ertinya serta mencari rahsia dan hikmahnya; mendalami ilmu pengetahuannya, memerhati hikmahnya dan menyesuaikan diri dengan pengajarannya dan yakin bahawa kitabNya adalah pedoman hidup untuk selama-lamanya di segala tempat dan zaman.

Maksud nasihat bagi rasulNya ialah membenarkan kerasulannya; mempercayai apa yang dibawanya, mematuhi suruhan dan larangannya, membela agamanya, memusuhi siapa yang melawannya, mencintai siapa yang mencintainya, menghidup perjalanan dan sunnahnya pada diri dan dalam masyarakat.


3. Nasihat bagi imam-imam kaum muslimin dan orang ramai


Imam-imam kaum muslimin ituialah pemimpin-pemimpin, raja, ulama’-ulama’ dan ketua-ketua pemerintahan Islam. Maksud nasihat kepada mereka ialah menolong dan menyokong mereka dalam perkara kebenaran dan keadilan, patuh kepada mereka dalam urusan kebaikan; tegur mereka dengan cara yang sopan dan peringati mereka di kala mereka terlari dari kewajipan, dan jangan dihasut orang ramai supaya keluar dari barisan ketaatan yang membawa kepada kekacawan.

Maksud nasihat kepada orang ramai kaum muslimin ialah memimpin mereka ke jalan yang benar, mengawasi mereka dari jalan yang salah, mengajar mereka, belajar dari mereka; bertolong-tolongan di antara mereka dalam perkara kebaikan dan takwa, saling hormat menghormati, cinta-mencintai, bersama-sama memelihara kemaslahatan hidup dengan menjauhi sifat-sifat yang membangkitkan fitnah dan permusuhan dan memahami bahawa tiap-tiap seorang adalah anggota dalam masyarakat. Tidak ada dalam masyarakat kalau tidak ada diri perseorangan. Sebab itu kebaikkan masyarakat kerana kebaikan tiap-tiap diri. Begitu pula sebaliknya. Dan di antara jalan untuk memelihara keselamatan masyarakat hendaklah ada nasihat dan pimpinan yang sihat. Hal ini haruslah dilakukan dengan cara yang teratur, mengikut jalan yang benar lagi bijaksana dengan menghindarkan perkara yang membawa keburukan; iaitu dalam cara mengeluarkan perkataan mahupun dalam perkara melakukan perbuatan.

Nasihat memang besar faedahnya. Tetapi kalau silap caranya membawa pula kepada bencananya. Sebab itu seorang yang memberi nasihat hendaklah mengerti cara bagaimana hendak melakukannya supaya nasihatnya dapat menginsafkan dan diterima.

Nasihat dilakukan kepada orang ramai, kepada seorang dan kepada beberapa orang yang tertentu. Tiap-tiap nasihat itu hendaklah dengan cara yang sopan lagi bijaksana. Sesuai dengan keadaan mereka yang dinasihatkan itu. Dan kalua nasihat itu kepada orang atau beberapa orang maka hendaklah dilakukan dengan cara yang tersembunyi. Sekiranya dilakukan di hadapan orang ramai maka nasihat yang seperti ini bukanlah lagi merupakan nasihat, tetapi suatu penghinaan yang terang-terangan.

Di sin patut pula diterangkan bahawa di antara bahagian nasihat ialah menasihati orang yang minta dinasihat, sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. iaitu:


“Apabila meminta nasihat salah seorang kamu kepada saudaranya, maka hendaklah ia memberi nasihat kepadanya”.

Nasihat bukan cara berhadapan dengan kawan tetapi dapat juga dilakukan di belakang, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya diri hak seorang Islam atas seorang Islam ialah menasihat baginya apabila ia ghaib” (tiada bersama dengannya).

Ini bererti jika orang lain yang hendak memburuk-burukkan atau merosakkan kehormatan peribadi kawannya, maka hendaklah ia menolak, membela serta membersihkannya. Kerana ini adalah haknya sebagai seorang Islam atas kawannya. Malahan inilah pengertian nasihat yang dikehendaki Rasulullah terhadap seorang kawan sebagai tanda kesetiaannya. Dengan demikian terbuktilah keikhlasannya dalam pergaulan dan inilah jenis nasihat yang sangat diperlukan sebagai satu ha katas tiap-tiap diri dalam hubungan dengan kawannya dan hak ini pula yang menjadi ukurannya. Kerana nasihat waktu berhadapan muka belum tentu dapat mencerminkan kesucian hati, sebab mungkin nasihat itu sentiasa di luar saja tidak dari jiwa yang ikhlas dan setia kawan.



Penunjuknya (dalalahnya):

Hadis ini mengandungi beberapa penunjuk. Di antaranya adalah:
1. Menunjukkan bahawa nasihat itu dinamakan agama dan Islam. Kerana agama bukan sahaja mengandungi perbuatan, tetapi meliputi juga segala perkataan.
Nasihat – menurut kata Imam Nawawi – adalah wajib sekadar yang mampu dengan syarat seorang itu mengetahui bahawa nasihatnya akan diterima, sesungguhnya akan dipatuhi dan dirinya tidak terancam. Tanpa syarat ini tidaklah diwajibkan.
2. Hadis ini pada keseluruhannya menunjukkan bahawa nasihat menurut pengertian yang dimaksudkan Rasulullah amatlah mustahak, hngga dikatakan agama itu nasihat. Tidak ada pengertian agama kalua tidak ada nasihat, dan tidak ada kesedaran orang yang beragama kalua tidak ada peringatan dari nasihat-nasihat agama.
Juga hadis ini menggambarkan kepada kita keseluruhan masyarakat Islam; masyarakat yang didasarkan kepada ketuhanan atau keparcayaan kepada agama sebagai asas. Dalam masyarakat itu ada beberapa golongan yang masing-masing dengan tanggungjawabnya sendiri; ada imam-imam iaitu raja-raja atau kerajaannya yang dipatuhi, ada pemimpin-pemimpin yang diikuti, ada ulama’-ulama’ yang dituruti, ada rakyat yang mentaati demi kepentingan kebaikan dan kesejahteraan agama dan mesyarakat seluruhnya dan sekalian mereka menghendaki kepada hidupnya semangat, nasihat-menasihati, saling ingat-mengingati, hormat-menghormati dan kasih saying yang sejati – Wallaahu’alam.