Terjemahannya:
Dari Abi
Muhammad Abdullah Umar bin al-As r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tidak beriman seseorang kamu sehingga adalah hawanya (kemahuan atau
kecenderungannya) mengikut kepada apa yang aku bawa dengan dia.”
Hadis hasan lagi sahih, kami
riyawatkannya dari dalam kitab al-Hajah dengan sanad yang sahih.
Syarahannya:
Hadis ini diriwayatkan dari Abi Muhammad
Abdullah bin Umar bin al-As, seorang tokoh ilmu agama yang tekum beribadah dan
salah seorang dari kalangan sahabat yang utama dalam jurusan ilmu dan riwayat.
Abu Hurairah berkata: “Selain aku maka beliaulah orang yang banyak meriwayatkan
hadis dari Rasulullah. Beliau katanya boleh menulis, sedang aku tidak boleh
menulis.” Hadis yang diriwayatkannya ada sebanyak 700 hadis dan 17 hadis
daripadanya dipersetujui bersama oleh Bukhari dan Muslim.
Nilainya:
Hadis ini memperkatakan nilai iman bagi
seseorang yang mengakui beriman. Penilaian yang menentukan benar tidaknya
keimanan itu sewaktu menghadapi perintah dan larangan Rasulullah. Seseorang
dapat menentukan nilai imannya sendiri menurut sebahagian yang dikatakan
Rasulullah dalam hadis itu.
PERKARA KEIMANAN KEPADA SUATU
YANG DIBAWA RASUL
1▪ Mendahului Iman
Rasulullah telah menerangkan pada hadis
yang tersebut perkara keimanan kepada suatu yang dibawanya kerana dalam
menghadapi perkara ini seorang itu selalu diganggu atau dihalangi oleh bisikan
hawa nafsunya dan terjadilah pertentangan terhadap keimanan hingga perintah
atau larangan yang terang dan tegas dari
Allah dan rasulNya ditinggalkan atau ditempuhi dan adakalanya ditolaknya
langsung kerana dipengaruhi oleh keinginan hati dan hawa nafsunya. Hal mana
amatlah berlawanan dengan tabiat dan jiwa serta akhlak orang yang beriman
sebagaimana yang telah dikatakan Rasulullah iaitu “Bahawa tidak beriman seseorang kamu sehingga adalah hawa nafsunya
mengikut kepada apa yang aku bawa dengan dia.”
Jelaslah
bahawa mengikut Rasulullah iaitu mengikut Quran dan Sunnah yang telah dibawanya
adalah dasar tuntutan iman. Seseorang mukmin menurut kata imam Nawawi wajib
menyesuaikan amalan-amalannya dengan kitab (Quran) dan Sunnah dan menyalahi
hawa nafsunya dan mengikuti apa yang dibawa Rasulullah s.a.w.
Inilah
kewajipan mutlak atas tiap-tiap orang yang beriman dan ini pula yang menjadi
tuntutan asas atas tiap-tiap orang Islam kerana antara iman dan Islam tidak ada
perbezaan hakikat. Kedua-duanya tidak mungkin dipisah dari peribadi seseorang
insane yang menyedari wujudnya kebesaran Illahi yang Maha Pencipta kerana kedua-duanya
adalah satu pengertian dalam memusatkan keseluruhan hidup kepada hukumnya.
Sungguh
amatlah tepat pendapat imam Abu Hanafi yang menegaskan:
Maksudnya:
“Dan Islam itu ialah penyerahan dan kepatuhan
kepada perintah-perintah Allah Ta’ala. Dari segi bahasa terdapat perbezaan
antara iman dan Islam. Akan tetapi tiada iman dengan tiada Islam dan tiada
didapati Islam dengan tiada iman. Kedua-duanya seperti belakang (seseorang
manusia) serta perutnya (yang tiada boleh dipisahkan). Dan akan itu adalah nama
yang meliputi iman, Islam dan sekalian hukum syarak.”
Maka
nyatalah mengikut Rasulullah dalam masalah yang ditegaskan hukumnya adalah dari
tuntutan agama dan tidak boleh bagi seseorang yang beriman mencuaikan dengan
tidak mahu mengerjakan atau meninggalkannya dengan alasan ada pendapat yang
lain yang lebih sesuai atau labih banyak dipersetujui oleh orang ramai ataupun
telah berabad-abad lamanya diamalkan orang.
Memang
sukar melawan hawa nafsu kerana mengikut sunnah Rasulullah atau menurut
pengajaran agama. Tetapi bagi seseorang yang beriman dalam usahanya untuk
menunjukkan keimanan dan kecintaan atau kasih sayangnya terhadap agama Allah
dan rasulNya wajiblah menunduk kemahuannya dan memimpin peribadinya untuk
menerima petunjuk dan perintah rasul kerana inilah erti cinta sejati yang
bertalian dengan iman hakiki yang mesti diutamakan dan didahulukan dari
kecintaan kepada yang lain sesuai dengan hadis rasul dalam kitab sahih Bukhari
dan Muslim iaitu:
Maksudnya:
“Tiada beriman seseorang kamu hingga adalah aku
lebih cinta kepadanya daripada dirinya dan anaknya dan isterinya dan manusia
sekaliannya.”
Kalau
tidak demikian maka cinta itu adalah palsu dan dusta kerana apakah ertinya
cinta itu kalau seseorang masih mengutamakan hawa nafsu dirinya dan anak
pinaknya dan menuruti kehendak manusia dalam masyarakatnya dengan membelakangi
perintah agama dan petunjuk rasul? Sungguh amatlah sukar mengikutinya dalam
segala larangan dan firmannya dan kerana kesukaran inilah maka ditegaskan pada
hadisnya yang tersebut untuk menjadi panduan iman.
2▪ Mendahului Hawa Nafsu
Bahawa
terlaksana segala kebaikkan yang diperintah agama serta terjauhnya segala
kejahatan yang dilarangNya adalah disebabkan adalah mendahului hawa nafsu maka
segala kebaikkan tidak akan berlaku kerana hawa nafsu tidak pernah bersetuju
dengan suatu yang dikehendaki iman.
Hawa
nafsu adalah punca segala kejahatan. Mendahulukannya keruntuhan iman, akhlak
dan kesejahteraan hidup. Rasulullah mengatakan: “Tidak beriman seseorang kamu
sehingga hawa nafsu mengikut apa yang aku bawa.” Tetapi yang dibawanya tidak
dapat diterima oleh hawa nafsu seseorang begitu sahaja dengan cara yang mudah
dengan alasan yang bermacam ragam. Inilah sebabnya Allah telah mensifatkan
orang-orang penyembah berhala adalah dri mereka yang mengikut hawa nafsu. Di
antara sifat mereka ialah sebagaimana yang diterangkan pada firmanNya ini:Surah
al-Qasas, ayat 50.
Juga,
hawa nafsulah yang menimbulkan bermacam-macam merosakkan aqidah yang bukan
–bukan yang keluar dari kepercayaan yang benar, banyaklah pula orang-orang yang
membuat bidaah dalam agama, terjadilah segala macam maksiat yang lama dan yang
baru, meluaslah perasaan benci-membenci di antara sesama sendiri. Ramailah
orang yang memihak dan menyokong perkara yang tidak benar, sedikitlah orang
mahu dan bersetuju dengan yang benar. Demikianlah seterusnya akibat diri
mendahului hawa nafsu dari menurut agama dan petunjuk atau sunnah Rasulullah
s.a.w.
Petunjuknya (dalalahnya):
Di
antaranya yang ditunjukkan oleh hadis yang keempat puluh satu ini ialah:
1. Menunjukkan
bahawa orang yang sempurna iman ialah orang yang hawa nafsunya mengikuti apa
yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.; dan bahawa orang yang tiada beriman (kafir)
ialah orang yang mengikuti iman yang lain: dan bahawa orang yang munafik ialah
orang yang menampakkan amalan yang dibawa Rasulullah tetapi batinnya atau
hatinya tetap menolak iman itu pada keseluruhannya.
2. Menunjukkan
bahawa hawa nafsu adalah halangan yang terbesar sekali untuk mengikuti jalan
yang benar, jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah sehingga orang beriman tidak
mungkin mencapai darjat kesempurnaan imannya selagi dia dipengaruhi oleh hawa
nafsunya. Oleh yang demikian maka wajiblah ia berusaha menunduk dan
menguasainya, ini adalah suatu perjuangan yang utama.
Pada
suatu masa pernah ditanya orang kepada Rasulullah apakah perjuangan yang afdhal?
Jawabnya: Perjuangan engkau terhadap hawa nafsu engkau. Wallahu ‘alam.