Saturday, 24 November 2018

Hadis 41 (Melawan Hawa Nafsu)



Terjemahannya:
Dari Abi Muhammad Abdullah Umar bin al-As r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga adalah hawanya (kemahuan atau kecenderungannya) mengikut kepada apa yang aku bawa dengan dia.”
          Hadis hasan lagi sahih, kami riyawatkannya dari dalam kitab al-Hajah dengan sanad yang sahih.

Syarahannya:
Hadis ini diriwayatkan dari Abi Muhammad Abdullah bin Umar bin al-As, seorang tokoh ilmu agama yang tekum beribadah dan salah seorang dari kalangan sahabat yang utama dalam jurusan ilmu dan riwayat. Abu Hurairah berkata: “Selain aku maka beliaulah orang yang banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah. Beliau katanya boleh menulis, sedang aku tidak boleh menulis.” Hadis yang diriwayatkannya ada sebanyak 700 hadis dan 17 hadis daripadanya dipersetujui bersama oleh Bukhari dan Muslim.

Nilainya:
Hadis ini memperkatakan nilai iman bagi seseorang yang mengakui beriman. Penilaian yang menentukan benar tidaknya keimanan itu sewaktu menghadapi perintah dan larangan Rasulullah. Seseorang dapat menentukan nilai imannya sendiri menurut sebahagian yang dikatakan Rasulullah dalam hadis itu.



PERKARA KEIMANAN KEPADA SUATU YANG DIBAWA RASUL

1▪ Mendahului Iman
Rasulullah telah menerangkan pada hadis yang tersebut perkara keimanan kepada suatu yang dibawanya kerana dalam menghadapi perkara ini seorang itu selalu diganggu atau dihalangi oleh bisikan hawa nafsunya dan terjadilah pertentangan terhadap keimanan hingga perintah atau larangan  yang terang dan tegas dari Allah dan rasulNya ditinggalkan atau ditempuhi dan adakalanya ditolaknya langsung kerana dipengaruhi oleh keinginan hati dan hawa nafsunya. Hal mana amatlah berlawanan dengan tabiat dan jiwa serta akhlak orang yang beriman sebagaimana yang telah dikatakan Rasulullah iaitu “Bahawa tidak beriman seseorang kamu sehingga adalah hawa nafsunya mengikut kepada apa yang aku bawa dengan dia.”
          Jelaslah bahawa mengikut Rasulullah iaitu mengikut Quran dan Sunnah yang telah dibawanya adalah dasar tuntutan iman. Seseorang mukmin menurut kata imam Nawawi wajib menyesuaikan amalan-amalannya dengan kitab (Quran) dan Sunnah dan menyalahi hawa nafsunya dan mengikuti apa yang dibawa Rasulullah s.a.w.
          Inilah kewajipan mutlak atas tiap-tiap orang yang beriman dan ini pula yang menjadi tuntutan asas atas tiap-tiap orang Islam kerana antara iman dan Islam tidak ada perbezaan hakikat. Kedua-duanya tidak mungkin dipisah dari peribadi seseorang insane yang menyedari wujudnya kebesaran Illahi yang Maha Pencipta kerana kedua-duanya adalah satu pengertian dalam memusatkan keseluruhan hidup kepada hukumnya.
          Sungguh amatlah tepat pendapat imam Abu Hanafi yang menegaskan:
Maksudnya:
“Dan Islam itu ialah penyerahan dan kepatuhan kepada perintah-perintah Allah Ta’ala. Dari segi bahasa terdapat perbezaan antara iman dan Islam. Akan tetapi tiada iman dengan tiada Islam dan tiada didapati Islam dengan tiada iman. Kedua-duanya seperti belakang (seseorang manusia) serta perutnya (yang tiada boleh dipisahkan). Dan akan itu adalah nama yang meliputi iman, Islam dan sekalian hukum syarak.”

          Maka nyatalah mengikut Rasulullah dalam masalah yang ditegaskan hukumnya adalah dari tuntutan agama dan tidak boleh bagi seseorang yang beriman mencuaikan dengan tidak mahu mengerjakan atau meninggalkannya dengan alasan ada pendapat yang lain yang lebih sesuai atau labih banyak dipersetujui oleh orang ramai ataupun telah berabad-abad lamanya diamalkan orang.
          Memang sukar melawan hawa nafsu kerana mengikut sunnah Rasulullah atau menurut pengajaran agama. Tetapi bagi seseorang yang beriman dalam usahanya untuk menunjukkan keimanan dan kecintaan atau kasih sayangnya terhadap agama Allah dan rasulNya wajiblah menunduk kemahuannya dan memimpin peribadinya untuk menerima petunjuk dan perintah rasul kerana inilah erti cinta sejati yang bertalian dengan iman hakiki yang mesti diutamakan dan didahulukan dari kecintaan kepada yang lain sesuai dengan hadis rasul dalam kitab sahih Bukhari dan Muslim iaitu:
Maksudnya:
“Tiada beriman seseorang kamu hingga adalah aku lebih cinta kepadanya daripada dirinya dan anaknya dan isterinya dan manusia sekaliannya.”

          Kalau tidak demikian maka cinta itu adalah palsu dan dusta kerana apakah ertinya cinta itu kalau seseorang masih mengutamakan hawa nafsu dirinya dan anak pinaknya dan menuruti kehendak manusia dalam masyarakatnya dengan membelakangi perintah agama dan petunjuk rasul? Sungguh amatlah sukar mengikutinya dalam segala larangan dan firmannya dan kerana kesukaran inilah maka ditegaskan pada hadisnya yang tersebut untuk menjadi panduan iman.


2▪ Mendahului Hawa Nafsu
          Bahawa terlaksana segala kebaikkan yang diperintah agama serta terjauhnya segala kejahatan yang dilarangNya adalah disebabkan adalah mendahului hawa nafsu maka segala kebaikkan tidak akan berlaku kerana hawa nafsu tidak pernah bersetuju dengan suatu yang dikehendaki iman.
          Hawa nafsu adalah punca segala kejahatan. Mendahulukannya keruntuhan iman, akhlak dan kesejahteraan hidup. Rasulullah mengatakan: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga hawa nafsu mengikut apa yang aku bawa.” Tetapi yang dibawanya tidak dapat diterima oleh hawa nafsu seseorang begitu sahaja dengan cara yang mudah dengan alasan yang bermacam ragam. Inilah sebabnya Allah telah mensifatkan orang-orang penyembah berhala adalah dri mereka yang mengikut hawa nafsu. Di antara sifat mereka ialah sebagaimana yang diterangkan pada firmanNya ini:Surah al-Qasas, ayat 50.
          Juga, hawa nafsulah yang menimbulkan bermacam-macam merosakkan aqidah yang bukan –bukan yang keluar dari kepercayaan yang benar, banyaklah pula orang-orang yang membuat bidaah dalam agama, terjadilah segala macam maksiat yang lama dan yang baru, meluaslah perasaan benci-membenci di antara sesama sendiri. Ramailah orang yang memihak dan menyokong perkara yang tidak benar, sedikitlah orang mahu dan bersetuju dengan yang benar. Demikianlah seterusnya akibat diri mendahului hawa nafsu dari menurut agama dan petunjuk atau sunnah Rasulullah s.a.w.


Petunjuknya (dalalahnya):

          Di antaranya yang ditunjukkan oleh hadis yang keempat puluh satu ini ialah:

1.     Menunjukkan bahawa orang yang sempurna iman ialah orang yang hawa nafsunya mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.; dan bahawa orang yang tiada beriman (kafir) ialah orang yang mengikuti iman yang lain: dan bahawa orang yang munafik ialah orang yang menampakkan amalan yang dibawa Rasulullah tetapi batinnya atau hatinya tetap menolak iman itu pada keseluruhannya.

2.    Menunjukkan bahawa hawa nafsu adalah halangan yang terbesar sekali untuk mengikuti jalan yang benar, jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah sehingga orang beriman tidak mungkin mencapai darjat kesempurnaan imannya selagi dia dipengaruhi oleh hawa nafsunya. Oleh yang demikian maka wajiblah ia berusaha menunduk dan menguasainya, ini adalah suatu perjuangan yang utama.
Pada suatu masa pernah ditanya orang kepada Rasulullah apakah perjuangan yang afdhal? Jawabnya: Perjuangan engkau terhadap hawa nafsu engkau. Wallahu ‘alam.