Saturday, 24 November 2018

Hadis 24 (Larangan Berbuat Zalim)



Terjemahannya:
Daripada Abu Zar al-Ghifari r.a. daripada Rasulullah SAW berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Baginda daripada Allah SWT bahawa Dia berfirman:

"Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya aku mengharamkan ke atas diriKu kezaliman dan Aku jadikannya di kalangan kamu sebagai suatu perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim-menzalimi."

"Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua sesat kecuali orang yang Aku hidayatkannya, maka hendaklah kamu meminta hidayat dariKu."

"Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka hendaklah kamu meminta makan daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu makan."

"Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua telanjang kecuali orang yang Aku berikannya pakaian, maka hendaklah kamu meminta pakaian daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu pakaian."

"Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya kamu bersalah siang dan malam dan Aku mengampunkan semua dosa, maka mintalah keampunan daripadaKu nescaya Aku akan ampunkan kamu."

"Wahai hamba-hambaKu! Selama-lamanya kamu tidak akan mampu memudharatkan Aku sehingga kamu boleh memudharatkan Aku."

"Wahai hamba-hambaKu! Dan selama-lamanya kamu tidak akan mampu memberi manfaat kepada Aku sehingga kamu boleh memberi manfaat kepada Aku."

"Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertaqwa umpama hati orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaanKu."

"Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang-cacatkan apa-apapun dalam kerajaanKu."

"Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua berhimpun di suatu tempat, lalu mereka meminta daripadaKu (iaitu meminta sesuatu pemberian), lantas Aku kurniakan setiap orang dari kalangan mereka permintaannya, nescaya hal itu tidak mengurangkan sedikitpun apa-apa yang ada di sisiKu kecuali umpama berkurangnya air laut apabila dicelupkan sebatang jarum."

"Wahai hamba-hambaKu! Bahawa sesungguhnya hanya amalan kamu yang Aku akan perhitungkannya bagi kamu, kemudian Aku sempurnakan pembalasannya. Maka barangsiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan barangsiapa yang mendapat selain kebaikan, maka janganlah dia mencela kecuali mencela dirinya sendiri."          

(Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad dan Muslim no. 2577)

Hadis 23 (Semua Kebaikan Adalah Sedekah)



Terjemahannya:
Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya'arie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: "Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur'an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjualdirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya."

(Riwayat Muslim no.223 dan al-Tirmizi no.3517)

Hadis 22 (Jalan Menuju Syurga)



Terjemahannya:

Daripada Abu Abdullah Jabir ibn Abdullah al-Ansarie r.a., (beliau meriwayatkan): Bahawa seorang lelaki telah bertanyakan Rasulullah SAW, dia berkata: "Bagaimana pandanganmu jika aku mendirikan sembahyang-sembahyang fardhu, aku berpuasa bulan Ramadhan, aku menghalalkan perkara yang halal dan aku mengharamkan perkara yang haram. Aku tidak akan menambah apa-apa lagi lebih daripada itu. Apakah aku akan masuk syurga?" Baginda bersabda: "Ya!"             

(Riwayat Ahmad dan Muslim, no. 15)

Hadis 21 (Istiqamah dan Iman)



Terjemahannya:

Daripada Abu `Amru - atau digelar juga Abu `Amrah - Sufian ibn Abdullah r.a. beliau berkata: "Aku berkata: Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah."   

(Riwayat Muslim no. 38; al-Nasa’i no. 11489 dan Ibn Majah no. 3972)

Hadis 20 (Malu Adalah Sebahagian Dari Iman)



Terjemahannya:

Daripada Abu Mas'uud 'Uqbah ibn 'Amru al-Ansarie al-Badrie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan Kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik oleh manusia ialah: Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu."             

(Riwayat al-Bukhari, no. 3296 dan Abu Daud, no. 4796)


Syarahannya:

Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dari Ibnu Mas’ud ‘Uqabah bin Umar al-Ansari. Ia berasal dari Badar, kemudian mendiami di Kufah. Hadis riwayatnya ada sebanyak 102 hadis.


Nilainya:

Hadis tersebut walaupun ringkas tetapi kemas.  Cukuplah untuk dijadikan panduan atau pengukur nilai akhlak seorang dari segi perbuatan. Kerana perbuatan mencerminkan sopan. Orang yang sopan tidak mahu berbuat suatu yang memalukan atau yang mendatangkan kecelaan. Sebab orang yang sopan adalah orang yang malu. Malu adalah adab dan tata tertib dunia dan agama sejak dari syariat para rasul dan nabi yang terdahulu.

Friday, 23 November 2018

Hadis 19 (Pertolongan dan Perlindungan Allah)



Terjemahannya:

Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. beliau berkata: "Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku:
“Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya)."    

(Riwayat Ahmad no. 2669, al-Tirmizi no. 2516 dan al-Hakim no. 6302)

Hadis 18 (Takwa dan Akhlak Yang Terpuji)


Terjemahannya:
Dari Abu Dzar Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman Muaz bin Jabal r.a dari Rasulullah s.a.w sabdanya: “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada. Dan ikutilah kejahatan – dengan mengerjakan – kebaikan, nescaya menghapuskannya. Dan berperanglah kepadaa manusia dengan perangi yang bagus.” Diriwayatkan oleh Tarmizi, dan katanya: “Hadis ini hasan. Dan pada sesetengan naskah dikatakan hadis ini hadis sahih.”


Syarahannya:

Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tarmizi dari abu Dzar Jundub bin Junadah dan dari Abu Abdul Rahman Muaz bin Jabal. Abu Dzar beragama Islam di Mekah kemudian hijrah ke Madinah. Beliau adalah seorang yang amat fasih percakapan dan penuh dengan ilmu pengetahuan. Hadis yang diriwayatkan adalah sebanyak 291 hadis.

Manakala Abu Abdul Rahman adalah seorang pejuang banyak menyertai peperangan bersama Rasulullah. Beliau adalah juga seorang ulama’ yang banyak mengetahui perkara yang halal dan haram. Hadis yang diriwayatkannya ada sebanyak 157 hadis.


Nilainya:


Hadis tersebut mengandungi nilai yang penting dalam perkara yang berhubung dengan Allah dan dengan manusia. Penilaian ini dapat dilihat dari penegasan Rasulullah yang menjelaskan betapa dan bagaimana sifat takwa kepada Allah itu diamalkan, dan menjelaskan juga betapa mustahak kebagusanbudi pekerti terhadap manusia itu dilakukan.


Perkara Takwa dan Yang Berkaitan Dengannya


1. Bertakwalah kepada Allah

Pada hadis tersebut Rasulullah ada menerangkan perkara takwa dan yang berkaitan dengannya secara perintah, iaitu: (Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada) ertinya menurut perintah yang selalu digunakan ialah: takutlah kepada Allah di mana sahaja engkau berada, sama ada di tempat yang ramai mahupun di tempat yang sunyi jauh dari pandangan mata manusia.

Erti takwa pada Allah ialah melaksanakan segala wajib dan meninggalkan segala yang haram. Perlaksanaan ini tetap disempurnakan dengan tidak memilih waktu dan tempat, sebab takwa menurut perintah Rasulullah, hendaklah dilakukan di mana saja seseorang itu berada.

Perkataan takwa (berbakti) adalah sedikit sebutannya, tetapi pengertiannya adalah lengkap. Kalau dikatakan takwa kepada Allah maka ertinya berbakti kepadanya dengan sepenuhnya pada tempat dan masa. Menurut ketentuan hukumnya, berbakti kepadanya bererti pula mematuhinya tidak menderhakainya, mengingatinya tidak melupakannya, mensyukurinya tidak mengingkarinya.

Takwa kepada Allah diperluaskan di mana saja seseorang itu berada, sama ada berseorang diri, tidak ada yang melihatnya; mahupun di hadapan orang ramai, yang memandang gerak-gerinya. Takwa itu tetaplah tidak dihilang atau ditinggalkan oleh suatu keadaan yang menimpa dirinya.

Dalam al-Quran ada ayat-ayat yang menegaskan faedah takwa kepada Allah. Di antaranya ada yang menyatakan untuk menyingkirkan diri daripada neraka, untuk menempatkannya dalam syurga, untuk membaikkan amal serta menghapuskan dosa, untuk mencapai kemenangan dan kejayaan, untuk mendapatkan peliharaan dan perlindungan dari seteru, untuk melepaskan diri dari kepayahan dan memperoleh rezeki yang halal. Dan yang akhir ialah yang sangat menarik perhatian orang di dunia ini, kerana ada hubungan dengan penghidupan. Firman Allah:

“Dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya).Serta memberinya rezeki dari jalan Yang tidak terlintas di hatinya.” (Surah at-Thalaq, ayat 2-3).

Menurut keterangan ahli tafsir, ayat tersebut diturunkan berhubung dengan suatu peristiwa di mana seorang sahabat telah mengadu kepada Rasulullah mengenai hal  anaknya yang telah ditawan musuh. Rasulullah menyurauh supaya dia bersabar dan dia pun bersabar, tidak berapa lama kemudian, anaknya berjaya melarikan diri dari tangan musuh, dan terus pulang dengan membawa beberapa ekor kambing yang diambil dari kumpulan kambing kepunyaan musuh yang telah menawannya. Maka dengan kepulangan anaknya, gembiralah hatinya serta beruntung dengan mendapat rezeki yang dia tidak sangka-sangka datangnya. Inilah salah satu dari kelebihan atau faedah takwa dengan sifat kesabaran.


2. Ikutilah Kejahatan Dengan Kebaikan

Sebagaimana telah diketahui bahawa Rasulullah pada hadisnya ini menyuruh seorang supaya bertakwa kepada Allah dengan cara memelihara diri daripada suatu yang dipandang salah dan berdosa biar di mana saja dia berada. Tetapi seorang itu selama bernama manusia tidak pula terpelihara daripada membuat kesalahan dengan meninggalkan setengan yang diwajibkan atau mengerjakan sebahagian yang diharamkan, dan dengan itu dia telah berbuat kejahatan yang dikehendaki pula supaya dihapuskan kejahatan itu daripadanya.


Untuk itu Rasulullah bersabda: “واتبع السيئة الحسنة تمحها” dan  ikutilah kejahatan itu dengan mengerjakan kebaikan, supaya kebaikan itu dapat menghapuskannya. Ini bererti kejahatan yang dikerjakan seseorang dapat dihapuskan dosanya dengan melakukan kebaikan kemudiannya.

Kejahatan (السيئة) yang dimaksudkan dapat menghapuskan kejahatan itu ialah seperti sembahyang, wudhuk dan lain-lain lagi dari amal kebaikan yang disukai agama.

Dalam al-Quran ada ayat yang menegaskan bahawa segala kebaikan menghilangkan segala kejahatan sebagaimana yang difahamkan dari hadis tersebut, iaitu:


“Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan.” (Surah Hud, ayat 114).

Menurut keterangan hadis Sahih Bukhari dan Muslim dari Ibni Mas’ud: “Bahawa seorang lelaki telah mencium perempuan, kemudian dia datang kepada Rasulullah untuk menceritakan halnya. Rasulullah diam saja hingga diturunkan ayat tersebut. Kemudian Rasulullah memanggil lelaki itu, lalu dibacakan kepadanya ayat tadi – sebagai jawapan kepada pertanyaan dalam ceritanya itu – setelah itu dia bertanya: “Adakah ayat inii tertenu hukumnya kepadanya sahaja ataupun umum?”. Rasulullah menjawab: “Umum kepada sekalian orang”.

Menurut hadis Abu Hurairah: “Bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Demi yang diriku dalam tanganNya! Seorang hamba yang sembahyang lima waktu, berpuasa bulan ramadhan, mengeluarkan zakat, menjauhi dosa besar yang tujuh (di antaranya membunuh, memakan riba) akan dibukakan baginya pintu-pintu syurga, kemudian dikatakan kepadanya: Masuklah dengan selamat”.

Berkata Ibnu Mas’ud: “Sembahyang lima waktu, jadi kafarah (penghapus dosa) yang berlaku di antara masa-masa sembahyang itu, selama dijauhi segala dosa besar”.

Berkata Ibnu Umar kepada seorang lelaki: “Adakah engkau takut memasuki neraka dan engkau suka  memasuki syurga katanya: Ya! Buatlah kebaikan kepada ibumu, lemah-lembutlah perkataan kepadanya, berilah makanan kepadanya, tentu engkau dapat masuk syurga selama engkau menjauhi dosa besar”. Demikian kata Ibnu Umar kepadanya.

Kesimpulannya, segala kebaikan seperti wudhuk sembahyang, puasa, zakat dan lain-lainnya adalah amal yang menghapuskan kejahatan, iaitu dosa-dosa yang tidak menghendaki taubat.


3. Berperangai kepada manusia dengan perangai yang baik

Setelah Rasulullah menerangkan perkara takwa, kemudian dijelaskannya kebaikan yang menghapuskan dosa, maka diakhiri dengan menyatakan perkara perangai itu budi pekerti dan sopan santun yang dikehendaki kepada seseorang manusia dengan sabda: “Dan berperangailah kepada manusia dengan perangai yang baik atau sopan”.

Di sini mungkin ada orang bertanya: Kenapa ditimbulkan perkara perangai? Apakah ada hubungan dengan takwa kepada Allah? Sebagai jawapan dikatakan: Bahawa peerangai itu budi pekerti yang baik adalah dari urusan takwa atau dari tuntutannya. Malah tidak sempurna takwa melainkan dengannya dan tidak dikatakan takwa semata-mata membaikkan hubungan dengan Allah tetapi memutuskan kasih sayang dengan manusia.

Jadi takwa kepada Allah menghendaki pula elok dan bagus budi pekerti dalam hubungan dengan manusia. Inilah yang dimaksudkan dengan hadis tersebut. Dalam hadis-hadis yang lain Rasulullah pernah menghuraikan keelokan dan kebagusan budi pekerti itu. Di antaranya ialah:

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat melapangkan manusia dengan harta kamu. Sebab itu, maka lapangkanlah mereka dengan muka yang jernih berseri dan keelokan budi. Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling elok budi pekeri”.

“Sesungguhnya Allah telah memilih agama Islam untuk kamu. Maka muliakan dia dengan budi yang baik dan murah hati. Kerana tidak sempurna Islam melainkan dengan keduanya”.

“Sesungguhnya keelokan budi adalah seberat-berat barang yang diletakkan dalam timbangan (amal) dan orang yang berbudi sekasih-kasih manusia kepada Allah dan sehampir-hampir orang kepada tempat keduduan anbia’”.

“Sesungguhnya orang mukmin akan mencapai darjat orang puasa dan sembahyang dengan keelokan budinya”.



Jadi dengan keterangan ini jelaskah betapa tinggi lagi mulia peribadi orang yang berakhlak dan berbudi. Orang yang sedemikian itu dapat hidup dalam masyarakat dengan sempurna. Kerana tidak ada yang dibimbangkan atau yang ditakuti oleh ketiadaan suatu perbuatan dari akhlaknya yang menghina atau merosak orang yang dalam masyarakatnya.


Petunjuk (dalalahnya):

Di antara petunjuknya ialah:

1. Bahawa hadis tersebut pada keseluruhannya mengandungi tiga hukum yang amat penting. Pertama: Hak Allah. Kedua: Hak mukallaf. Ketiga: Hak hamba. Hak Allah ialah takwa kepadanya. Hak mukallaf menghapuskan kejahatan yang telah dikerjakannya. Hak hamba ialah elok pergaulan di antara sesame manusia dalam masyarakat. Ketiga-tiga hak ini termasuk dalam tuntutan dan pengertian takwa. Yang demikian pula takwa itu tidak terhad kepada Allah, tetap meliputi juga sesama manusia. Dan orang ang takwa adalah orang ang dapat menunaikan pengertian tersebut secara keseluruhan.

2. Bahawa kebaikan yang dikerjakan seseorang dapat menghapuskan kejahatan, yang demikian lenyaplah dosanya. Para ulama telah banyak memperkatakan masalah penghapusan dosa dengan ketiadaan taubat. Mereka telah membahaskan, adalah amal kebaikan (amal soleh) dapat menghapuskan dosa kecil dan dosa besar atau dosa-dosa kecil sahaja? Di antara mereka banya yang berpendapat bahawa amal kebaikan hanya dapat menghapuskan dosa kecil saja tidak dosa besar. Inilah yang diriwayatkan dari ‘Atha dan ulama salaf pada hadis wudhuk yang menyatakan penghapudan dosa kecil.

Adapun dosa besar, maka penghapusan menghendaki kepada taubat sesuai dengan perintah Allah kepada hambanya untuk melakukan jika telah berdosa dan orang yang tidak menurut perintah ini, dipandang sebagai orang zalim. Sementara itu telah dijamakkan pula bahawa taubat adalah fardhu. Menunaikan fardhu menghendakkan kepada niat dan qasad. Andai kata segala dosa besar dapat dihapuskan dengan wudhuk, sembahyang dengan rukun-rukun Islam yang lain maka tidaklah diperlukan lagi kepada taubat. Ini terng-terang tidak dapat diterima. Sebagai alas an untuk menetapkan yang dosa besar tidak dapat dihapuskan oleh segala amal yang fardhu itu di antaranya ialah hadis Abu Hurairah yang menyatakan bahawa Rasulullah bersabda:

“Sembahyang yang lima waktu dan sembahyang jumaat kepada sembahang jumaat (dari seminggu ke seminggu) dan puasa ramadhan kepada puasa ramadhan adalah menghapuskan dosa di antara sekalian selama dijauhi dosa besar”.

Dalam penjelasan hadis ini terdapat dua pendapat; Pertama: pendapat jumhur ahli as-Sunnah mengatakan bahawa menjauhi segala dosa besar adalah syarat untuk menghapus segala dosa kecil. Sebaliknya kalau masih melakukan dosa besar maka tetaplah tidak berlaku penghapusan itu. Kedua: Pendapat yang mengatakan dosa kecil terhapus secara mutlak sekalipun didapati dosa besar. Namun demikian disyaratkan pula taubat dari dosa kecil itu dan jangan dikekalkan melakukannya. Sekianlah wallaahu’alam.