Saturday, 24 November 2018

Hadis 42 (Luasnya Ampunan Allah)



Terjemahannya:

Daripada Anas bin Malik r.a berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, bahawa Allah SWT berfirman:

Maksudnya: ”Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku maka Aku mengampuni segala dosamu yang telah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu engkau minta ampun kepada-Ku nescaya Kuampuni. Wahai anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-Ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku datang padamu dengan ampunan seluas bumi pula.”

(Riwayat al-Tirmizi no: 3534 dan al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah)

Hadis 41 (Melawan Hawa Nafsu)



Terjemahannya:
Dari Abi Muhammad Abdullah Umar bin al-As r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga adalah hawanya (kemahuan atau kecenderungannya) mengikut kepada apa yang aku bawa dengan dia.”
          Hadis hasan lagi sahih, kami riyawatkannya dari dalam kitab al-Hajah dengan sanad yang sahih.

Syarahannya:
Hadis ini diriwayatkan dari Abi Muhammad Abdullah bin Umar bin al-As, seorang tokoh ilmu agama yang tekum beribadah dan salah seorang dari kalangan sahabat yang utama dalam jurusan ilmu dan riwayat. Abu Hurairah berkata: “Selain aku maka beliaulah orang yang banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah. Beliau katanya boleh menulis, sedang aku tidak boleh menulis.” Hadis yang diriwayatkannya ada sebanyak 700 hadis dan 17 hadis daripadanya dipersetujui bersama oleh Bukhari dan Muslim.

Nilainya:
Hadis ini memperkatakan nilai iman bagi seseorang yang mengakui beriman. Penilaian yang menentukan benar tidaknya keimanan itu sewaktu menghadapi perintah dan larangan Rasulullah. Seseorang dapat menentukan nilai imannya sendiri menurut sebahagian yang dikatakan Rasulullah dalam hadis itu.



PERKARA KEIMANAN KEPADA SUATU YANG DIBAWA RASUL

1▪ Mendahului Iman
Rasulullah telah menerangkan pada hadis yang tersebut perkara keimanan kepada suatu yang dibawanya kerana dalam menghadapi perkara ini seorang itu selalu diganggu atau dihalangi oleh bisikan hawa nafsunya dan terjadilah pertentangan terhadap keimanan hingga perintah atau larangan  yang terang dan tegas dari Allah dan rasulNya ditinggalkan atau ditempuhi dan adakalanya ditolaknya langsung kerana dipengaruhi oleh keinginan hati dan hawa nafsunya. Hal mana amatlah berlawanan dengan tabiat dan jiwa serta akhlak orang yang beriman sebagaimana yang telah dikatakan Rasulullah iaitu “Bahawa tidak beriman seseorang kamu sehingga adalah hawa nafsunya mengikut kepada apa yang aku bawa dengan dia.”
          Jelaslah bahawa mengikut Rasulullah iaitu mengikut Quran dan Sunnah yang telah dibawanya adalah dasar tuntutan iman. Seseorang mukmin menurut kata imam Nawawi wajib menyesuaikan amalan-amalannya dengan kitab (Quran) dan Sunnah dan menyalahi hawa nafsunya dan mengikuti apa yang dibawa Rasulullah s.a.w.
          Inilah kewajipan mutlak atas tiap-tiap orang yang beriman dan ini pula yang menjadi tuntutan asas atas tiap-tiap orang Islam kerana antara iman dan Islam tidak ada perbezaan hakikat. Kedua-duanya tidak mungkin dipisah dari peribadi seseorang insane yang menyedari wujudnya kebesaran Illahi yang Maha Pencipta kerana kedua-duanya adalah satu pengertian dalam memusatkan keseluruhan hidup kepada hukumnya.
          Sungguh amatlah tepat pendapat imam Abu Hanafi yang menegaskan:
Maksudnya:
“Dan Islam itu ialah penyerahan dan kepatuhan kepada perintah-perintah Allah Ta’ala. Dari segi bahasa terdapat perbezaan antara iman dan Islam. Akan tetapi tiada iman dengan tiada Islam dan tiada didapati Islam dengan tiada iman. Kedua-duanya seperti belakang (seseorang manusia) serta perutnya (yang tiada boleh dipisahkan). Dan akan itu adalah nama yang meliputi iman, Islam dan sekalian hukum syarak.”

          Maka nyatalah mengikut Rasulullah dalam masalah yang ditegaskan hukumnya adalah dari tuntutan agama dan tidak boleh bagi seseorang yang beriman mencuaikan dengan tidak mahu mengerjakan atau meninggalkannya dengan alasan ada pendapat yang lain yang lebih sesuai atau labih banyak dipersetujui oleh orang ramai ataupun telah berabad-abad lamanya diamalkan orang.
          Memang sukar melawan hawa nafsu kerana mengikut sunnah Rasulullah atau menurut pengajaran agama. Tetapi bagi seseorang yang beriman dalam usahanya untuk menunjukkan keimanan dan kecintaan atau kasih sayangnya terhadap agama Allah dan rasulNya wajiblah menunduk kemahuannya dan memimpin peribadinya untuk menerima petunjuk dan perintah rasul kerana inilah erti cinta sejati yang bertalian dengan iman hakiki yang mesti diutamakan dan didahulukan dari kecintaan kepada yang lain sesuai dengan hadis rasul dalam kitab sahih Bukhari dan Muslim iaitu:
Maksudnya:
“Tiada beriman seseorang kamu hingga adalah aku lebih cinta kepadanya daripada dirinya dan anaknya dan isterinya dan manusia sekaliannya.”

          Kalau tidak demikian maka cinta itu adalah palsu dan dusta kerana apakah ertinya cinta itu kalau seseorang masih mengutamakan hawa nafsu dirinya dan anak pinaknya dan menuruti kehendak manusia dalam masyarakatnya dengan membelakangi perintah agama dan petunjuk rasul? Sungguh amatlah sukar mengikutinya dalam segala larangan dan firmannya dan kerana kesukaran inilah maka ditegaskan pada hadisnya yang tersebut untuk menjadi panduan iman.


2▪ Mendahului Hawa Nafsu
          Bahawa terlaksana segala kebaikkan yang diperintah agama serta terjauhnya segala kejahatan yang dilarangNya adalah disebabkan adalah mendahului hawa nafsu maka segala kebaikkan tidak akan berlaku kerana hawa nafsu tidak pernah bersetuju dengan suatu yang dikehendaki iman.
          Hawa nafsu adalah punca segala kejahatan. Mendahulukannya keruntuhan iman, akhlak dan kesejahteraan hidup. Rasulullah mengatakan: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga hawa nafsu mengikut apa yang aku bawa.” Tetapi yang dibawanya tidak dapat diterima oleh hawa nafsu seseorang begitu sahaja dengan cara yang mudah dengan alasan yang bermacam ragam. Inilah sebabnya Allah telah mensifatkan orang-orang penyembah berhala adalah dri mereka yang mengikut hawa nafsu. Di antara sifat mereka ialah sebagaimana yang diterangkan pada firmanNya ini:Surah al-Qasas, ayat 50.
          Juga, hawa nafsulah yang menimbulkan bermacam-macam merosakkan aqidah yang bukan –bukan yang keluar dari kepercayaan yang benar, banyaklah pula orang-orang yang membuat bidaah dalam agama, terjadilah segala macam maksiat yang lama dan yang baru, meluaslah perasaan benci-membenci di antara sesama sendiri. Ramailah orang yang memihak dan menyokong perkara yang tidak benar, sedikitlah orang mahu dan bersetuju dengan yang benar. Demikianlah seterusnya akibat diri mendahului hawa nafsu dari menurut agama dan petunjuk atau sunnah Rasulullah s.a.w.


Petunjuknya (dalalahnya):

          Di antaranya yang ditunjukkan oleh hadis yang keempat puluh satu ini ialah:

1.     Menunjukkan bahawa orang yang sempurna iman ialah orang yang hawa nafsunya mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.; dan bahawa orang yang tiada beriman (kafir) ialah orang yang mengikuti iman yang lain: dan bahawa orang yang munafik ialah orang yang menampakkan amalan yang dibawa Rasulullah tetapi batinnya atau hatinya tetap menolak iman itu pada keseluruhannya.

2.    Menunjukkan bahawa hawa nafsu adalah halangan yang terbesar sekali untuk mengikuti jalan yang benar, jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah sehingga orang beriman tidak mungkin mencapai darjat kesempurnaan imannya selagi dia dipengaruhi oleh hawa nafsunya. Oleh yang demikian maka wajiblah ia berusaha menunduk dan menguasainya, ini adalah suatu perjuangan yang utama.
Pada suatu masa pernah ditanya orang kepada Rasulullah apakah perjuangan yang afdhal? Jawabnya: Perjuangan engkau terhadap hawa nafsu engkau. Wallahu ‘alam.

Hadis 40 (Mengambil Dunia Untuk Keselamatan Di Akhirat)



Terjemahannya:
Daripada Ibn Umar r.a beliau berkata, bahawa Rasulullah memegang belakang beliau lalu bersabda:

Maksudnya: “’Janganlah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau pengembara. ’Lalu Ibn Umar r.a berkata: ‘Jika engkau telah berada di waktu petang, maka janganlah dinantikan waktu pagi. Jika engkau berada di waktu pagi, maka janganlah dinantikan waktu petang. Pergunakanlah waktu sihatmu sebelum waktu sakit dan waktu hidup sebelum mati.’”

(Riwayat al-Bukhari no. 6416 dan al-Tirmizi no. 2333)

Hadis 39 (Kesulitan Akan Dimudahkan)



Terjemahannya:
Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah memaafkan (keranaku) daripada umatku amal-amal yang khilaf dan lupa dan dipaksakan atas mereka.”

(Riwayat Ibn Majah no. 2034, al-Baihaqi (10/60), al-Tabarani no. 765, al-Daraqutni (VII/170) dan al-Hakim (11/198)

Hadis 38 (Sarana Untuk Mendekatkan Diri Kepada Allah)



Terjemahannya:
Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda, bahawa Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Sesiapa memusuhi wali-Ku, maka Kuizinkan dia diperangi. Tidaklah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu amal yang lebih Kusukai daripada jika dia mengerjakan amal yang Kuwajibakan kepadanya. Hamba-Ku sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunah sehingga Aku mencintainya. Jika Aku mencintainya, jadilah Aku sebagai telinganya untuk mendengar dan sebagai matanya untuk melihat dan sebagai kakinya untuk berjalan dan jika dia meminta kepada-Ku pasti Kuberi dan jika dia meminta perlindungan kepada-Ku pasti Kulindungi.”

(Riwayat al-Bukhari no. 6137 dan al-Baghawi jilid 7 halaman 204 dalam Syarhus Sunnah)

Hadis 37 (Keadilan dan Kurnia Allah)



Terjemahannya:
Daripada Ibn Abbas r.a meriwayatkan daripada Rasulullah SAW wahyu daripada Allah SWT yang berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menetapkan kebaikan-kebaikan dan keburukan-keburukan kemudian menerangkannya: Sesiapa berhasrat mengerjakan namun tidak jadi mengerjakannya, Allah mencatat di sisi-Nya satu kebaikan yang sempurna. Jika dia berhasrat mengerjakan kebaikan lalu benar-benar mengerjakannya, Allah mencatat nilai kebaikan itu sepuluh kali hingga tujuh ratus kali ganda, bahkan berlipat ganda lagi. Dan sesiapa berhasrat mengerjakan keburukkan namun tidak jadi mengerjakannya, Allah mencatat di sisi-Nya satu kebaikan yang sempurna, dan jika dia berhasrat mengerjakan keburukan lalu benar-benar mengerjakannya, Allaah hanya mencatat satu keburukan untuknya.”

(Riwayat Ahmad no. 2828, al-Bukhari no. 6126 dan Muslim no. 131)

Hadis 36 (Rangkuman Dari Pelbagai Kebaikan)



Terjemahannya:
Daripada Abi Hurairah r.a meriwayatkan daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa melepaskan salah satu kesusahan dunia daripada seorang Mukmin, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahan pada hari kiamat daripadanya. Sesiapa memudahkan orang yang tengah dilanda kesulitan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa menutup aib seorang Muslim maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Allah menolong hamba-Nya selama hamba itu menolong saudaranya. Sesiapa menempuh suatu jalan dalam rangka mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan enuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah suatu rumah Allah dengan membaca kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama, kecuali bahawa ketenteraman akan turun kepada mereka, malaikat menaungi mereka di hadapan makhluk yang di sisi-Nya, dan sesiapa yang lambat (kurang) amalannya, maka tidak akan dipercepat mengangkat darjatnya.”

(Riwayat Muslim no.2699, 2580 dan al-Tirmizi no. 2940)

Hadis 35 (Ukhuwah dan Hak-hak Muslim)



Terjemahannya:
Daripada Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Janganlah saling mendengki, saling menipu, saling membenci, saling membelakangi dan janganlah sebahagian kamu membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi muslim yang lain. Dia tidak patut menzalimi, membohongi, dan merendahkannya. Takwa itu di sini (beliau menunjukkan dadanya tiga kali). Cukuplah seseorang  dikatakan buruk jika sampai menghina saudaranya sesama setiap Muslim adalah haram bagi Muslim yang lain.”

(Riwayat Ahmad no. 7713 dan Muslim no. 2563)

Hadis 34 (Menyingkirkan Kemungkaran)



Terjemahannya:
Daripada Abi Sa’id al-Khudri r.a berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangannya; jika tidak sanggup maka dengan lisannya; dan jika tidak sanggup juga dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman.”

(Riwayat Ahmad no. 11478, Muslim no. 49, Abu Daud no. 1140 dan al-Tirmizi no. 2172)

Hadis 33 (Dasar-dasar Hukum Dalam Islam)



Terjemahannya:

Daripada Ibn Abbas r.a meriwayatkan, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Jika semua orang dipenuhi akan tuntutannya, nescaya akan ada orang menuntut harta benda dan darah suatu kaum. Akan tetapi hendaklah ada bukti bagi orang yang menuduh dan ada sumpah bagi yang mengingkari.”

(Riwayat al-Baihaqi no 20990, hasan sebahagian lafaznya diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 4552 dan Muslim no. 1711)

Hadis 32 (Larangan Berbuat Mudharat)



Terjemahannya:
Daripada Abi Sa’id bin Malik bin Sinan al-Khudri r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Tidak boleh menimpakan bahaya (kepada orang yang tidak bersalah) dan menimpakan balasan yang membahayakan (melanggar syariat).”

Ada pula yang menggunakan:

Maksudnya: “Tidak boleh menimpakan bahaya pada diri sendiri dan kepada orang lain.”

(Riwayat Ahmad no.2867, Malik no.31, Ibn Majah no.2340,2341 dan al-Daruqutni no.(3/77))

Hadis 31 (Hakikat Zuhud)



Terjemahannya:
Daripada Abi al-Abbas Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi r.a berkata, bahawa seseorang datang kepada Nabi SAW seraya berkata:

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah saya suatu pekerjaan yang jika dikerjakan nescaya saya dicintai Allah dan dicintai umat manusia.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Zuhudlah engkau akan dunia, nescaya Allah akan menyintaimu, dan zuhudlah engkau akan apa yang ada pada manusia, nescaya mereka mencintaimu.”

(Riwayat Ibn Majah no. 4102 dan al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah)

Hadis 30 (Suruhan dan Larangan)



Terjemahannya:
Daripada Abi Tsa’labah al-Khusyani Jurtsumi bin Nasyirin r.a meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda :

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan beberapa kewajipan, maka janganlah engkau meinggalkannya. Dan telah menentukan beberapa hudud (batas), maka janganlah engkau melampauinya. Dan telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah melanggarinya. Dan Dia telah diam daripada beberapa perkara sebab rahmat bagimu, bukannya kerana lupa, maka janganlah engkau mempersoalkannya.”

[Riwayat al-Baihaqi no.20217 dalam al-Sunan al-Kubra dan Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya (9/17)]

Hadis 29 (Pintu-pintu Kebaikan)



Terjemahannya:
Daripada Mu’az ibn Jabal r.a. beliau berkata:

Aku berkata: Ya Rasulullah! Terangkan padaku suatu amalan yang boleh memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku daripada api neraka.

Baginda bersabda: Sesungguhnya engkau telah bertanya suatu perkara besar, namun sesungguhnya ia adalah ringan bagi orang yang dipermudahkan Allah; iaitu engkau menyembah Allah, jangan mensyirikkanNya dengan sesuatu, engkau mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah.

Kemudian Baginda bersabda: Apakah engkau mahu aku tunjukkan beberapa pintu kebajikan? Puasa itu adalah perisai, sedekah dapat madamkan dosa seumpama air memadamkan api dan sembahyang seorang lelaki di tengah malam. Kemudian Baginda membaca ayat al-Qur’an yang bererti: (Tulang-tulang rusuk mereka telah renggang dari tempat tidur mereka. Mereka menyeru Tuhan mereka dengan perasaan takut dan penuh harapan dan mereka membelanjkan sebahagian rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka. Seseorang tidak mengetahui apakah yang disembunyikan bagi mereka yang terdiri daripada perkara yang menyejukkan mata sebagai balasan terhadap amalan yang mereka telah lakukan). Kemudian Baginda bersabda: Apakah engkau mahu aku khabarkan kepadamu tunggak segala amal, tiang-tiangnya dan puncaknya? Aku berkata: Mahu ya Rasulullah!

Baginda bersabda: Tunggak amalan ialah lslam, tiang-tiangnya ialah sembahyang dan puncaknya ialah jihad. Kemudian Baginda bersabda: Apakah engkau mahu aku khabarkan kepadamu kunci segala perkara tersebut? Aku berkata: Mahu ya Rasulullah!

Lalu Baginda memegang lidahnya seraya bersabda: Peliharalah benda ini! Aku berkata: Ya Nabi Allah! Adakah kita akan diseksa lantaran apa yang dibicarakannya? Baginda bersabda: lbumu akan kehilanganmu wahai Mu’az! Tiadalah manusia itu dihumbankan mukanya – atau Baginda bersabda – dihumbankan batang hidungnya ke dalam api neraka kecuali kerana hasil tanaman lidah-lidah mereka.

Diriwayatkan oleh at-Tarmizi dan katanya: Ini hadis hasan sahih.

Hadis 28 (Menjalankan Perbuatan Sunnah & Menghindari Bida'ah)



Terjemahannya:
Daripada Abu Najih al-Irbad bin Sariah r.a berkata:

Maksudnya: Rasulullah SAW menasihati kita dengan nasihat perpisahan yang menggetarkan hati dan membuatkan air mata jatuh bercucuran. Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, nasihat itu seakan-akan nasihat yang terakhir, oleh itu berilah kami wasiat.” Nabi SAW bersabda: “Saya memberi wasiat kepadamu agar tetap bertakwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla, mendengar dan taat walaupun yang mempertahankanmu adalah seorang hamba. Sesungguhnya, sesiapa antara kamu masih hidup nescaya bakal menyaksikan banyak perselisihan. Kerana itu, berpegang teguhlah kepada sunnahku dan sunnah Khulafa al-Rasyidin yang lurus. Dan berpeganglah kepada sunnah-sunnah itu dengan kuat dan jauhilah olehmu akan hal-hal abharu yang diada-adakan (bidaah) kerana sesungguhnya semua bidaah itu sesat.                 

( Riwayat Abu Daud no. 4607 dan al-Tirmizi no. 2678)

Hadis 27 (Antara Kebajikan dan Dosa)



Terjemahannya:
Daripada Nawas bin Sim’an radhiallahuanhu, dari Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam beliau bersabda : “Kebaikan adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah segala hal yang megusik  jiwamu dan engkau tidak suka jika orang lain melihatnya “

(Riwayat Ahmad 4/228, al-Bukhari dalam al-Adab no.295 dan Muslim no. 2553)

Dan daripada Wabishah bin Ma’bad radhiallahuanhu dia berkata : Saya mendatangi Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam, lalu baginda bersabda : Apakah engkau datang untuk bertanyakan tentang kebaikan ?, Saya menjwab : Benar!. Baginda bersabda : Mintalah fatwa kepada kamu sendiri. Kebaikan adalah apa-apa yang mententeramkan jiwa dan hati, sedangkan dosa adalah apa-apa yang mengusik jiwa dan meragukan hati, meskipun orang-orang memberi fatwa yang membenarkanmu.

(Riwayat Ahmad no. 18006 dan al-Darimi (2/249).

Hadis 26 (Mendamaikan Orang Yang Bertikai Dengan Adil)



Terjemahannya:
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: "Setiap anggota badan manusia adalah sedekah baginya pada setiap hari apabila terbit matahari; engkau berlaku adil (iaitu mendamaikan) antara dua orang (iaitu dua orang yang berbalah) adalah sedekah, engkau membantu seseorang naik kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah yang engkau hayunkan kaki pergi sembahyang adalah sedekah dan menghilangkan sesuatu bahaya di jalanraya adalah sedekah."

(Riwayat al-Bukhari no.2827 dan Muslim no. 1007 dan 1009)

Hadis 25 (Kurnia dan Luasnya Rahmat Allah)



Terjemahannya:

Daripada Abu Zarr r.a. juga, (beliau meriwayatkan): Bahawa sebahagian sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Nabi SAW: "Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya telah mendapat banyak pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka." Baginda bersabda: "Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma'aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamupun adalah sedekah." Mereka bertanya: "Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnyapun dia beroleh pahala?" Baginda bersabda: "Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala."         

(Riwayat Ahmad no. 21483 dan Muslim no. 1006)

Hadis 24 (Larangan Berbuat Zalim)



Terjemahannya:
Daripada Abu Zar al-Ghifari r.a. daripada Rasulullah SAW berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Baginda daripada Allah SWT bahawa Dia berfirman:

"Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya aku mengharamkan ke atas diriKu kezaliman dan Aku jadikannya di kalangan kamu sebagai suatu perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim-menzalimi."

"Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua sesat kecuali orang yang Aku hidayatkannya, maka hendaklah kamu meminta hidayat dariKu."

"Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka hendaklah kamu meminta makan daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu makan."

"Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua telanjang kecuali orang yang Aku berikannya pakaian, maka hendaklah kamu meminta pakaian daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu pakaian."

"Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya kamu bersalah siang dan malam dan Aku mengampunkan semua dosa, maka mintalah keampunan daripadaKu nescaya Aku akan ampunkan kamu."

"Wahai hamba-hambaKu! Selama-lamanya kamu tidak akan mampu memudharatkan Aku sehingga kamu boleh memudharatkan Aku."

"Wahai hamba-hambaKu! Dan selama-lamanya kamu tidak akan mampu memberi manfaat kepada Aku sehingga kamu boleh memberi manfaat kepada Aku."

"Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertaqwa umpama hati orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaanKu."

"Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang-cacatkan apa-apapun dalam kerajaanKu."

"Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua berhimpun di suatu tempat, lalu mereka meminta daripadaKu (iaitu meminta sesuatu pemberian), lantas Aku kurniakan setiap orang dari kalangan mereka permintaannya, nescaya hal itu tidak mengurangkan sedikitpun apa-apa yang ada di sisiKu kecuali umpama berkurangnya air laut apabila dicelupkan sebatang jarum."

"Wahai hamba-hambaKu! Bahawa sesungguhnya hanya amalan kamu yang Aku akan perhitungkannya bagi kamu, kemudian Aku sempurnakan pembalasannya. Maka barangsiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan barangsiapa yang mendapat selain kebaikan, maka janganlah dia mencela kecuali mencela dirinya sendiri."          

(Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad dan Muslim no. 2577)

Hadis 23 (Semua Kebaikan Adalah Sedekah)



Terjemahannya:
Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya'arie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: "Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur'an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjualdirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya."

(Riwayat Muslim no.223 dan al-Tirmizi no.3517)

Hadis 22 (Jalan Menuju Syurga)



Terjemahannya:

Daripada Abu Abdullah Jabir ibn Abdullah al-Ansarie r.a., (beliau meriwayatkan): Bahawa seorang lelaki telah bertanyakan Rasulullah SAW, dia berkata: "Bagaimana pandanganmu jika aku mendirikan sembahyang-sembahyang fardhu, aku berpuasa bulan Ramadhan, aku menghalalkan perkara yang halal dan aku mengharamkan perkara yang haram. Aku tidak akan menambah apa-apa lagi lebih daripada itu. Apakah aku akan masuk syurga?" Baginda bersabda: "Ya!"             

(Riwayat Ahmad dan Muslim, no. 15)

Hadis 21 (Istiqamah dan Iman)



Terjemahannya:

Daripada Abu `Amru - atau digelar juga Abu `Amrah - Sufian ibn Abdullah r.a. beliau berkata: "Aku berkata: Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah."   

(Riwayat Muslim no. 38; al-Nasa’i no. 11489 dan Ibn Majah no. 3972)

Hadis 20 (Malu Adalah Sebahagian Dari Iman)



Terjemahannya:

Daripada Abu Mas'uud 'Uqbah ibn 'Amru al-Ansarie al-Badrie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan Kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik oleh manusia ialah: Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu."             

(Riwayat al-Bukhari, no. 3296 dan Abu Daud, no. 4796)


Syarahannya:

Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dari Ibnu Mas’ud ‘Uqabah bin Umar al-Ansari. Ia berasal dari Badar, kemudian mendiami di Kufah. Hadis riwayatnya ada sebanyak 102 hadis.


Nilainya:

Hadis tersebut walaupun ringkas tetapi kemas.  Cukuplah untuk dijadikan panduan atau pengukur nilai akhlak seorang dari segi perbuatan. Kerana perbuatan mencerminkan sopan. Orang yang sopan tidak mahu berbuat suatu yang memalukan atau yang mendatangkan kecelaan. Sebab orang yang sopan adalah orang yang malu. Malu adalah adab dan tata tertib dunia dan agama sejak dari syariat para rasul dan nabi yang terdahulu.

Friday, 23 November 2018

Hadis 19 (Pertolongan dan Perlindungan Allah)



Terjemahannya:

Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. beliau berkata: "Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku:
“Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya)."    

(Riwayat Ahmad no. 2669, al-Tirmizi no. 2516 dan al-Hakim no. 6302)

Hadis 18 (Takwa dan Akhlak Yang Terpuji)


Terjemahannya:
Dari Abu Dzar Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman Muaz bin Jabal r.a dari Rasulullah s.a.w sabdanya: “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada. Dan ikutilah kejahatan – dengan mengerjakan – kebaikan, nescaya menghapuskannya. Dan berperanglah kepadaa manusia dengan perangi yang bagus.” Diriwayatkan oleh Tarmizi, dan katanya: “Hadis ini hasan. Dan pada sesetengan naskah dikatakan hadis ini hadis sahih.”


Syarahannya:

Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tarmizi dari abu Dzar Jundub bin Junadah dan dari Abu Abdul Rahman Muaz bin Jabal. Abu Dzar beragama Islam di Mekah kemudian hijrah ke Madinah. Beliau adalah seorang yang amat fasih percakapan dan penuh dengan ilmu pengetahuan. Hadis yang diriwayatkan adalah sebanyak 291 hadis.

Manakala Abu Abdul Rahman adalah seorang pejuang banyak menyertai peperangan bersama Rasulullah. Beliau adalah juga seorang ulama’ yang banyak mengetahui perkara yang halal dan haram. Hadis yang diriwayatkannya ada sebanyak 157 hadis.


Nilainya:


Hadis tersebut mengandungi nilai yang penting dalam perkara yang berhubung dengan Allah dan dengan manusia. Penilaian ini dapat dilihat dari penegasan Rasulullah yang menjelaskan betapa dan bagaimana sifat takwa kepada Allah itu diamalkan, dan menjelaskan juga betapa mustahak kebagusanbudi pekerti terhadap manusia itu dilakukan.


Perkara Takwa dan Yang Berkaitan Dengannya


1. Bertakwalah kepada Allah

Pada hadis tersebut Rasulullah ada menerangkan perkara takwa dan yang berkaitan dengannya secara perintah, iaitu: (Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada) ertinya menurut perintah yang selalu digunakan ialah: takutlah kepada Allah di mana sahaja engkau berada, sama ada di tempat yang ramai mahupun di tempat yang sunyi jauh dari pandangan mata manusia.

Erti takwa pada Allah ialah melaksanakan segala wajib dan meninggalkan segala yang haram. Perlaksanaan ini tetap disempurnakan dengan tidak memilih waktu dan tempat, sebab takwa menurut perintah Rasulullah, hendaklah dilakukan di mana saja seseorang itu berada.

Perkataan takwa (berbakti) adalah sedikit sebutannya, tetapi pengertiannya adalah lengkap. Kalau dikatakan takwa kepada Allah maka ertinya berbakti kepadanya dengan sepenuhnya pada tempat dan masa. Menurut ketentuan hukumnya, berbakti kepadanya bererti pula mematuhinya tidak menderhakainya, mengingatinya tidak melupakannya, mensyukurinya tidak mengingkarinya.

Takwa kepada Allah diperluaskan di mana saja seseorang itu berada, sama ada berseorang diri, tidak ada yang melihatnya; mahupun di hadapan orang ramai, yang memandang gerak-gerinya. Takwa itu tetaplah tidak dihilang atau ditinggalkan oleh suatu keadaan yang menimpa dirinya.

Dalam al-Quran ada ayat-ayat yang menegaskan faedah takwa kepada Allah. Di antaranya ada yang menyatakan untuk menyingkirkan diri daripada neraka, untuk menempatkannya dalam syurga, untuk membaikkan amal serta menghapuskan dosa, untuk mencapai kemenangan dan kejayaan, untuk mendapatkan peliharaan dan perlindungan dari seteru, untuk melepaskan diri dari kepayahan dan memperoleh rezeki yang halal. Dan yang akhir ialah yang sangat menarik perhatian orang di dunia ini, kerana ada hubungan dengan penghidupan. Firman Allah:

“Dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya).Serta memberinya rezeki dari jalan Yang tidak terlintas di hatinya.” (Surah at-Thalaq, ayat 2-3).

Menurut keterangan ahli tafsir, ayat tersebut diturunkan berhubung dengan suatu peristiwa di mana seorang sahabat telah mengadu kepada Rasulullah mengenai hal  anaknya yang telah ditawan musuh. Rasulullah menyurauh supaya dia bersabar dan dia pun bersabar, tidak berapa lama kemudian, anaknya berjaya melarikan diri dari tangan musuh, dan terus pulang dengan membawa beberapa ekor kambing yang diambil dari kumpulan kambing kepunyaan musuh yang telah menawannya. Maka dengan kepulangan anaknya, gembiralah hatinya serta beruntung dengan mendapat rezeki yang dia tidak sangka-sangka datangnya. Inilah salah satu dari kelebihan atau faedah takwa dengan sifat kesabaran.


2. Ikutilah Kejahatan Dengan Kebaikan

Sebagaimana telah diketahui bahawa Rasulullah pada hadisnya ini menyuruh seorang supaya bertakwa kepada Allah dengan cara memelihara diri daripada suatu yang dipandang salah dan berdosa biar di mana saja dia berada. Tetapi seorang itu selama bernama manusia tidak pula terpelihara daripada membuat kesalahan dengan meninggalkan setengan yang diwajibkan atau mengerjakan sebahagian yang diharamkan, dan dengan itu dia telah berbuat kejahatan yang dikehendaki pula supaya dihapuskan kejahatan itu daripadanya.


Untuk itu Rasulullah bersabda: “واتبع السيئة الحسنة تمحها” dan  ikutilah kejahatan itu dengan mengerjakan kebaikan, supaya kebaikan itu dapat menghapuskannya. Ini bererti kejahatan yang dikerjakan seseorang dapat dihapuskan dosanya dengan melakukan kebaikan kemudiannya.

Kejahatan (السيئة) yang dimaksudkan dapat menghapuskan kejahatan itu ialah seperti sembahyang, wudhuk dan lain-lain lagi dari amal kebaikan yang disukai agama.

Dalam al-Quran ada ayat yang menegaskan bahawa segala kebaikan menghilangkan segala kejahatan sebagaimana yang difahamkan dari hadis tersebut, iaitu:


“Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan.” (Surah Hud, ayat 114).

Menurut keterangan hadis Sahih Bukhari dan Muslim dari Ibni Mas’ud: “Bahawa seorang lelaki telah mencium perempuan, kemudian dia datang kepada Rasulullah untuk menceritakan halnya. Rasulullah diam saja hingga diturunkan ayat tersebut. Kemudian Rasulullah memanggil lelaki itu, lalu dibacakan kepadanya ayat tadi – sebagai jawapan kepada pertanyaan dalam ceritanya itu – setelah itu dia bertanya: “Adakah ayat inii tertenu hukumnya kepadanya sahaja ataupun umum?”. Rasulullah menjawab: “Umum kepada sekalian orang”.

Menurut hadis Abu Hurairah: “Bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Demi yang diriku dalam tanganNya! Seorang hamba yang sembahyang lima waktu, berpuasa bulan ramadhan, mengeluarkan zakat, menjauhi dosa besar yang tujuh (di antaranya membunuh, memakan riba) akan dibukakan baginya pintu-pintu syurga, kemudian dikatakan kepadanya: Masuklah dengan selamat”.

Berkata Ibnu Mas’ud: “Sembahyang lima waktu, jadi kafarah (penghapus dosa) yang berlaku di antara masa-masa sembahyang itu, selama dijauhi segala dosa besar”.

Berkata Ibnu Umar kepada seorang lelaki: “Adakah engkau takut memasuki neraka dan engkau suka  memasuki syurga katanya: Ya! Buatlah kebaikan kepada ibumu, lemah-lembutlah perkataan kepadanya, berilah makanan kepadanya, tentu engkau dapat masuk syurga selama engkau menjauhi dosa besar”. Demikian kata Ibnu Umar kepadanya.

Kesimpulannya, segala kebaikan seperti wudhuk sembahyang, puasa, zakat dan lain-lainnya adalah amal yang menghapuskan kejahatan, iaitu dosa-dosa yang tidak menghendaki taubat.


3. Berperangai kepada manusia dengan perangai yang baik

Setelah Rasulullah menerangkan perkara takwa, kemudian dijelaskannya kebaikan yang menghapuskan dosa, maka diakhiri dengan menyatakan perkara perangai itu budi pekerti dan sopan santun yang dikehendaki kepada seseorang manusia dengan sabda: “Dan berperangailah kepada manusia dengan perangai yang baik atau sopan”.

Di sini mungkin ada orang bertanya: Kenapa ditimbulkan perkara perangai? Apakah ada hubungan dengan takwa kepada Allah? Sebagai jawapan dikatakan: Bahawa peerangai itu budi pekerti yang baik adalah dari urusan takwa atau dari tuntutannya. Malah tidak sempurna takwa melainkan dengannya dan tidak dikatakan takwa semata-mata membaikkan hubungan dengan Allah tetapi memutuskan kasih sayang dengan manusia.

Jadi takwa kepada Allah menghendaki pula elok dan bagus budi pekerti dalam hubungan dengan manusia. Inilah yang dimaksudkan dengan hadis tersebut. Dalam hadis-hadis yang lain Rasulullah pernah menghuraikan keelokan dan kebagusan budi pekerti itu. Di antaranya ialah:

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat melapangkan manusia dengan harta kamu. Sebab itu, maka lapangkanlah mereka dengan muka yang jernih berseri dan keelokan budi. Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling elok budi pekeri”.

“Sesungguhnya Allah telah memilih agama Islam untuk kamu. Maka muliakan dia dengan budi yang baik dan murah hati. Kerana tidak sempurna Islam melainkan dengan keduanya”.

“Sesungguhnya keelokan budi adalah seberat-berat barang yang diletakkan dalam timbangan (amal) dan orang yang berbudi sekasih-kasih manusia kepada Allah dan sehampir-hampir orang kepada tempat keduduan anbia’”.

“Sesungguhnya orang mukmin akan mencapai darjat orang puasa dan sembahyang dengan keelokan budinya”.



Jadi dengan keterangan ini jelaskah betapa tinggi lagi mulia peribadi orang yang berakhlak dan berbudi. Orang yang sedemikian itu dapat hidup dalam masyarakat dengan sempurna. Kerana tidak ada yang dibimbangkan atau yang ditakuti oleh ketiadaan suatu perbuatan dari akhlaknya yang menghina atau merosak orang yang dalam masyarakatnya.


Petunjuk (dalalahnya):

Di antara petunjuknya ialah:

1. Bahawa hadis tersebut pada keseluruhannya mengandungi tiga hukum yang amat penting. Pertama: Hak Allah. Kedua: Hak mukallaf. Ketiga: Hak hamba. Hak Allah ialah takwa kepadanya. Hak mukallaf menghapuskan kejahatan yang telah dikerjakannya. Hak hamba ialah elok pergaulan di antara sesame manusia dalam masyarakat. Ketiga-tiga hak ini termasuk dalam tuntutan dan pengertian takwa. Yang demikian pula takwa itu tidak terhad kepada Allah, tetap meliputi juga sesama manusia. Dan orang ang takwa adalah orang ang dapat menunaikan pengertian tersebut secara keseluruhan.

2. Bahawa kebaikan yang dikerjakan seseorang dapat menghapuskan kejahatan, yang demikian lenyaplah dosanya. Para ulama telah banyak memperkatakan masalah penghapusan dosa dengan ketiadaan taubat. Mereka telah membahaskan, adalah amal kebaikan (amal soleh) dapat menghapuskan dosa kecil dan dosa besar atau dosa-dosa kecil sahaja? Di antara mereka banya yang berpendapat bahawa amal kebaikan hanya dapat menghapuskan dosa kecil saja tidak dosa besar. Inilah yang diriwayatkan dari ‘Atha dan ulama salaf pada hadis wudhuk yang menyatakan penghapudan dosa kecil.

Adapun dosa besar, maka penghapusan menghendaki kepada taubat sesuai dengan perintah Allah kepada hambanya untuk melakukan jika telah berdosa dan orang yang tidak menurut perintah ini, dipandang sebagai orang zalim. Sementara itu telah dijamakkan pula bahawa taubat adalah fardhu. Menunaikan fardhu menghendakkan kepada niat dan qasad. Andai kata segala dosa besar dapat dihapuskan dengan wudhuk, sembahyang dengan rukun-rukun Islam yang lain maka tidaklah diperlukan lagi kepada taubat. Ini terng-terang tidak dapat diterima. Sebagai alas an untuk menetapkan yang dosa besar tidak dapat dihapuskan oleh segala amal yang fardhu itu di antaranya ialah hadis Abu Hurairah yang menyatakan bahawa Rasulullah bersabda:

“Sembahyang yang lima waktu dan sembahyang jumaat kepada sembahang jumaat (dari seminggu ke seminggu) dan puasa ramadhan kepada puasa ramadhan adalah menghapuskan dosa di antara sekalian selama dijauhi dosa besar”.

Dalam penjelasan hadis ini terdapat dua pendapat; Pertama: pendapat jumhur ahli as-Sunnah mengatakan bahawa menjauhi segala dosa besar adalah syarat untuk menghapus segala dosa kecil. Sebaliknya kalau masih melakukan dosa besar maka tetaplah tidak berlaku penghapusan itu. Kedua: Pendapat yang mengatakan dosa kecil terhapus secara mutlak sekalipun didapati dosa besar. Namun demikian disyaratkan pula taubat dari dosa kecil itu dan jangan dikekalkan melakukannya. Sekianlah wallaahu’alam.